KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan berusaha memenuhi permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyediakan pelan perancangan dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bagi skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, FAM akan mengadakan perbincangan dengan barisan kepimpinan serta kejurulatihan bagi merancang strategi terbaik untuk memastikan Harimau Malaya terus maju ke tahap lebih tinggi.
Noor Azman juga melihat ini sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi oleh FAM dan skuad kebangsaan, memandangkan Anwar mahu melihat Harimau Malaya kembali sebagai antara gergasi bola sepak Asia.
“FAM akan merealisasikan hasrat Perdana Menteri untuk melihat prestasi skuad Harimau Malaya berada pada tahap terbaik dan digeruni oleh lawan. Kami akan berbincang dalam masa terdekat sebelum membentangkan perkara itu kepada Perdana Menteri. Banyak penambahbaikan akan dilakukan untuk skuad Harimau Malaya, seiring dengan peruntukan yang baru diterima daripada kerajaan,” kata Noor Azman.
Semalam, Anwar meminta FAM menyediakan pelan perancangan dan KPI untuk memastikan peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya.
Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di laman media sosialnya selepas mengiringi Anwar dalam pertemuan dengan barisan kepimpinan FAM.
“Tuntutan ini adalah balasan kepada komitmen kerajaan memberikan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk memperkasakan pasukan bola sepak kebangsaan, termasuk skuad bawah 23 tahun (B-23) negara,” kata Hannah.
Hannah menambah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menilai semula keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN), supaya penambahbaikan dapat dilakukan. – MalaysiaGazette
FAM perlu sediakan pelan perancangan, KPI Harimau Malaya – PM