KUALA LUMPUR -Fasa peralihan monsun dijangka akan bermula pada 24 September hingga awal November ini, menandakan tamatnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 17 Mei lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, negara akan mengalami tiupan angin lemah dari pelbagai arah sepanjang tempoh itu.
Keadaan itu juga boleh membawa kepada kejadian ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang dalam tempoh singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam.
“Cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang, dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan sentiasa mengikuti ramalan serta amaran cuaca melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi myCuaca, media sosial METMalaysia, atau hubungi talian 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut. – MalaysiaGazette