Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, Puchong, tengah hari tadi.

PUCHONG – Tindakan tentera Isreal yang meletupkan alat kelui secara serentak dipercayai menggunakan kawalan jauh menyebabkan hampir 2,000 pejuang Hizbullah di Lubnan dan Syria mengalami kecederaan disifatkan sebagai perbuatan biadap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbuatan rejim Isreal itu dilihat tidak berperikemanusiaan bukan sahaja memberi kesan kepada pejuang Hezbollah bahkan orang awam turut menjadi mangsa kekejaman Israel.

“Malaysia mengutuk serangan biadap daripada pangkalan (tentera) Israel menggunakan alat kelui.

“Seluruh rakyat yang mengunakan (peranti itu) terkesan, paling tidak berperikemanusiaan kerana mereka bukan pasukan tentera tetapi golongan wanita dan kanak-kanak.

“Jadi kita telah membantah keras (serangan terbaru Israel),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini, tengah hari tadi.

Rabu lalu, media melaporkan, lebib 2,000 pejuang Hezbollah di Lubnan dan Syria dilaporkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital selepas alat kelui yang digunakan meletup secara tiba-tiba dan secara serentak selepas ia didakwa digodam oleh Israel.

Laporan awal belum disahkan menyatakan sekurang-kurangnya di antara lima hingga 10 orang terbunuh termasuk anak kepada anggota Parlimen daripada Hezbollah akibat insiden letupan alat kelui digunakan oleh anggota kumpulan itu.

Kenyataan oleh kumpulan Hizbullah pula menyatakan insiden itu berlaku kira-kira 3.30 petang (waktu tempatan).

Anggota Hezbollah menggunakan alat kelui sebagai sistem komunikasi dalaman (internal communications) mereka dan letupan itu berlaku secara serentak di beberapa bahagian di Lubnan dan Syria. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here