Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah mengisytiharkan Global Ikwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai ajaran sesat kerana mempunyai unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Muftinya, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ajaran yang dibawa kumpulan itu merupakan kesinambungan daripada ajaran Al-Arqam yang pernah difatwakan sesat.

“Pegangan kumpulan GISBH yang mengagungkan pemimpin atau tokoh agama secara berlebihan, sehingga dianggap setaraf Nabi SAW atau memiliki keajaiban dan pengetahuan perkara ghaib seperti Tuhan, adalah fahaman batiniyyah yang menyeleweng dan sesat.

“Pemujaan itu menyebabkan mereka jadi terlalu taksub sampai sanggup mengikut pemimpin atau golongan agama dengan cara yang jelas bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, model ekonomi yang diamalkan GISB bercanggah dengan prinsip ekonomi islam kerana mempunyai unsur penindasan dan eksploitasi kanak-kanak, wanita, dan keluarga demi kepentingan peribadi.

“Dengan ini kami melarang segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh berkaitan dengan syarikat itu.

“Jawatankuasa juga mencadangkan masyarakat Islam perlu membantu pemulihan ahli-ahli GISBH yang ingin keluar dari kesesatan,” ujarnya.

Mohd Asri menjelaskan bahawa zakat di bawah kategori fi sabilillah, al-riqab, dan fakir miskin boleh digunakan untuk membantu bekas ahli GISBH. Bantuan ini termasuk pembiayaan pendidikan, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman untuk keluar dari GISBH, serta usaha dakwah untuk memperbetulkan akidah.

Beliau juga menggesa masyarakat Islam agar bersikap positif dalam membantu bekas ahli GISBH melepaskan diri dari ajaran sesat. 

“Contohnya, sekolah yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sebenar boleh menerima anak-anak bekas ahli GISBH untuk diberikan pendidikan yang sesuai. 

“Badan-badan swasta juga boleh membantu dengan menawarkan peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti orang Islam yang lain. Pada masa yang sama, semua pihak perlu bekerjasama memantau agar mereka tidak kembali kepada ajaran sesat itu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here