KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pelbagai jenis barang kontraban rokok dan arak bernilai RM1.76 juta menerusi beberapa siri serbuan yang dijalankan antara 13 hingga 21 Ogos lalu.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Zulkifli Muhamad berkata, dalam operasi kira-kira 12.10 tengahari, 16 Ogos lalu, pasukan operasi Kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit III (LTKL) membuat pemeriksaan harian ke atas sebuah Cargo Terminal Operator (CTO) di dalam Zon Dagangan Bebas (FCZ, KLIA).
Katanya, hasil pemerhatian dan pemeriksaan ke atas CTO terbabit berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan sebanyak 804,000 batang rokok putih disyaki tidak berkastam.
“Siasatan lanjut mendapati rokok putih itu bertujuan untuk dieksport ke Australia berdasarkan alamat terakhir pada dokumen manifest dan nilainya dianggarkan RM80,400 dan membabitkan duti dan cukai berjumlah RM538,400.
“Siasatan awal mendapati kesemua rokok putih yang hendak dieksport itu tidak mempunyai sebarang dokumen yang mengesahkan bayaran cukai semasa dibawa masuk ke Malaysia.
“Modus operandi sindiket ini adalah mengikrar dagangan dalam invois sebagai ‘Raincoat” dan “Cigarette” serta menggunakan perkhidmatan penghantaran melalui kargo untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala serbuan kedua pada 13 Ogos jam 6 petang pula, pasukan sama menerusi pemeriksaan ke atas CTO menemui 84 master care yag mengandungi 500,800 batang rokok putih dan 63 master care mengandungi surat khabar lama dalam muatan empat pallet dagangan.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dan rampasan rokok putih yang dibawa masuk ke kawasan Zon Bebas KLIA tanpa permit sah melalui kargo udara dan diikrar sebagai pakaian dan jeans yang dianggarkan bernilai RM50,080 membabitkan duti dan cukai RM335,536.
Menurut Zulkifli, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua rokok putih yang diimport itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengesahan bayaran cukai semasa dibawa masuk ke Malaysia dan turut diikrar sebagai produk pakaian dan jeans.
Jelas beliau, dalam serbuan ketiga pada 19 Ogos lalu jam 4.20 petang pemeriksaan pasukan serbuan ke atas CTO di dalam FCZ di KLIA menemui 3,000 kilogram tembakau shisha disyaki tidak berkastam dan diimport masuk tanpa permit import sah serta dianggarkan bernilai RM405,000 dan membabitkan duti dan cukai sebanyak RM313,863.75.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi mengikrar dagangan sebagai ‘AF Molasses’ dalam dokumen manifest dan menggunakan perkhidmatan penghantaran menerusi kargo untuk elak dihidu pihak berkuasa.
“Dalam satu lagi serbuan pada 13 dan 21 Ogos lalu, pasukan Kastam bersama pasukan polis membuat serbuan me atas dua premis perniagaan di ibu negara menerusi Ops Royal 2024.
“Hasilnya, dua orang warga tempatan yang merupakan pemilik premis ditahan dan pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 323.61 liter minuman keras tidak berkastam dan mempunyai label cukai kastam palsu dalam premis tersebut yang dianggarkan bernilai RM7,300 melibatkan duti serta cukai kastam RM32,200,” katanya.
Kesemua kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1957 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.-MalaysiaGazette