Seorang lelaki warga asing meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan kereta di Jalan Sedenak, Kulai, semalam.

KULAI – Seorang lelaki warga asing meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sedenak di sini semalam.

Kejadian pada pukul 8 pagi itu berlaku selepas motosikal Honda Dash ditunggang mangsa hilang kawalan akibat jalan licin dan melanggar sebuah kereta Perodua Bezza.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, kemalangan itu dimaklumkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kulai.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta iaitu seorang wanita tempatan berusia 32 tahun memandu dari arah Layang-layang menghala ke Johor Bahru.

“Ketika pemandu kereta melalui Jalan Sedenak secara tiba-tiba sebuah motosikal Honda Dash ditunggang lelaki warga asing berusia 38 tahun datang dari arah bertentangan hilang kawalan.

“Ketika kejadian jalan licin kerana baru lepas hujan. Motosikal itu kemudian melanggar bahagian depan kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini bagi tujuan bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambahnya.

Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa 011-26081008 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here