Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Semua kaunter perkhidmatan agensi kerajaan negeri diarah beroperasi walaupun pada waktu rehat untuk memudahkan urusan pelanggan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, arahan itu lari dengan dasar kerajaan negeri terutamanya dalam usaha menyantuni keperluan rakyat.

“Kaunter servis seharusnya tidak membebankan rakyat sebaliknya melayani dan permudahkan urusan mereka jadi saya mengarahkan semua kaunter servis kerajaan negeri Melaka tiada lagi penutupan pada waktu rehat.

“Pada waktu makan tengah hari, kaunter akan diuruskan secara penggiliran oleh pegawai-pegawai dan siapa sahaja yang datang termasuk di kaunter kerajaan Persekutuan mestilah jalankan urusan.

“Kita tak nak lagi rakyat ‘disidai’ di waktu-waktu rehat sedangkan urusan kerja itu boleh diuruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf turut mengingatkan penjawat awam supaya terus membudayakan amalan integriti dalam tugasan mereka.

Tegasnya, ini termasuklah merahsiakan segala maklumat dalam urusan kerajaan negeri yang tidak boleh disampaikan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada orang ramai.

“Jika tidak, ia merupakan satu pelanggaran di bawah akta rahsia rasmi kerajaan (Akta Rahsia Rasmi 1972) di mana sekiranya didapati bersalah boleh ditangkap tanpa waran dan tidak boleh diberi jaminan.

“Saya ingatkan penjawat awam supaya lebih berhati-hati jangan sampai apa juga bentuk maklumat disampaikan kepada orang luar sama keluarga terdekat, rakan-rakan, suami atau isteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here