Keadaan Robin Dejillo ketika diselamatkan selepas 47 hari berada di laut.

MANILA – Seorang nelayan Filipina menghabiskan 47 hari hanyut tanpa hala tuju di laut telah diselamatkan, kata Pengawal Pantai Manila.

Selama tempoh itu, nelayan berkenaan hanya minum air hujan, kelapa terapung dan makan ikan mentah di laut.

Robin Dejillo, yang berasal dari wilayah Quezon, tenggara Manila, dilaporkan hilang sejak 4 Ogos selepas botnya kehabisan minyak ketika menangkap ikan.

Kakitangan Pengawal Pantai menemuinya pada Khamis di luar wilayah Batanes paling utara, lebih 600 km dari wilayah Quezon.

Anggota pengawal ternampak sebuah bot bermotor putih dengan seorang lelaki warga emas di dalamnya.

“Lelaki itu ialah Dejillo,” katanya.

Anggota pengawal menyelamatkan Dejillo dan menunda bot itu ke pelabuhan berhampiran.

Masih tidak jelas bagaimana Dejillo terselamat daripada taufan tropika yang melanda Filipina semasa dia berada di laut.

Sekurang-kurangnya empat ribut melanda negara kepulauan itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Dejillo dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan perubatan.

Selepas penilaian perubatan menyeluruh, pengawal pantai berkata, pihaknya merancang untuk menghantar pesawat bagi membawa pulang Dejillo ke kampung halamannya di wilayah Quezon. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here