Kon Yeow (depan) merasmikan pembukaan Pakej 12A di LRA Sungai Dua.

BUTTERWORTH – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan rancangan pelaburan berjumlah RM1.115 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang bagi menjamin kemampanan bekalan air bersih kepada penduduk di negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, dalam tempoh sama PBAPP juga dijangka menyelesaikan enam lagi projek menerusi Pelan Kontingensi Bekalan Air 2030 (WCP 2030).

Tegas beliau, kesemua langkah itu merupakan usaha jangka panjang bagi menghadapi peningkatan permintaan air sebanyak 10 peratus.

“Sehingga kini PBAPP melabur sebanyak RM69.15 juta untuk melaksanakan WCP 2030 bertujuan memastikan bekalan air bersih berterusan kepada 1.74 juta penduduk di negeri ini.

“Antara projek-projek yang sedang dalam perancangan ialah pemasangan saluran paip sepanjang 13 kilometer dengan diameter 1.8 meter dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Butterworth.

Projek Pakej 12A adalah untuk meningkatkan kapasiti rawatan air sebanyak 114 juta air sehari (JLH) ekoran permintaan bekalan air yang semakin meningkat kini.

“Pemasangan paip sepanjang 3.9 kilometer dengan diameter 1.8 meter dari kawasan Macallum ke Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar di bahagian pulau.

“Pembinaan LRA baharu dengan kapasiti 114 juta liter sehari (JLH) untuk memanfaatkan air dari Empangan Mengkuang di Seberang Perai Tengah serta LRA Air Sungai Kerian yang juga dijangka menghasilkan 114 JLH air terawat untuk keperluan di Seberang Perai Selatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow merasmikan pembukaan Pakej 12A di LRA Sungai Dua.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K. Pathmanathan.

Projek Pakej 12A adalah untuk meningkatkan kapasiti rawatan air sebanyak 114 juta air sehari (JLH) ekoran permintaan bekalan air yang semakin meningkat kini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, sebanyak enam projek bekalan air utama telah disiapkan sejak tahun 2018.

“Antaranya Fasa 1 dan Fasa 2A Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) untuk meningkatkan kapasiti simpanan maksimum empangan terbesar di negeri ini kepada 86.4 bilion liter.

“Selain itu, Projek Saluran Paip Dasar Laut Berkembar Pulau Pinang yang ketiga telah siap untuk meningkatkan jumlah pengepaman air terawat ke negeri ini sebanyak maksimum 315 JLH.

“Ia termasuk Pakej 12A LRA Sungai Dua yang dirasmikan hari ini yang dapat meningkatkan kapasiti rawatan air sebanyak 114 JLH ekoran permintaan bekalan air yang semakin meningkat.

“Dengan pelaksanaan projek-projek ini, kita harap bekalan air bersih mencukupi untuk menampung keperluan penduduk Pulau Pinang dan menghadapi lonjakan permintaan air pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here