Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Mohammad antara tujuh lagi lelaki yang berjaya ditahan polis dalam Op Global semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketujuh-tujuh individu yang disyaki ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) itu ditahan menerusi satu serbuan yang dijalankan di empat lokasi di Pahang dan Kelantan.

“Kesemua individu berusia antara 24 hingga 35 tahun itu telah dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, Selangor pagi tadi bagi mendapatkan perintah permohonan reman.

“Kesemua mereka dibenarkan direman selama tujuh hari bermula hari ini (Jumaat) hingga 26 September depan (Khamis) bagi membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, polis menjalankan siasatan ke atas tujuh individu itu di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Jelas Razarudin lagi, berkata, kesemua lelaki yang ditahan itu kini ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam.

“Pada masa ini, siasatan awal masih dijalankan oleh polis terhadap kesemua individu yang ditahan,” ujar beliau lagi.

Pada 19 September lalu, polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu sebuah hotel residensi yang terletak di Jalan Imbi, ibu negara sebelum berjaya menahan seramai 19 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya.

Kesemua tangkapan terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita itu direman seminggu sehingga 25 September ini.

Sebelum ini, Razarudin dalam sidang media khas Op Global pada 18 September lalu memaklumkan, sebanyak 740 rakaman percakapan telah direkodkan oleh polis setakat ini.

Jelasnya lagi, tindakan itu diambil menerusi Op Global yang dilaksanakan dalam fasa pertama dan fasa kedua.

Selain itu, Polis juga telah membekukan sebanyak 96 akaun melibatkan GISBH bernilai RM581,552.31 mengikut Seksyen 44 (1) AMLATFPUAA 2021 sementara empat akaun telah ditutup.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here