Gambar hiasan.

PUCHONG –  Langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memotong 50 mata asas kadar faedah mengukuhkan mata wang ringgit ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun langkah itu bakal memberi impak kepada ekonomi negara, namun setakat ini ia memberi kelebihan kepada mata wang tempatan.

“Itu keputusan dia (AS), tapi sepertimana yang kita tahu, kadang-kala keputusan Fed itu ada kesan, tapi kalau setakat dia potong itu memberi laluan kepada penguatan ringgit yang sudah berjalan Alhamdulillah, lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini, tengah hari tadi.

Semalam, Pengerusi Fed, Fed Jerome Powell mengumumkan pengurangan 50 mata asas kadar faedah, satu angka yang besar setelah sekian lama tidak menurunkan kadar itu.

Pemotongan itu bertujuan meredakan kembali pasaran pekerjaan dan menurunkan kadar inflasi.

Berikutan keputusan Fed, Bank Pusat AS mengurangkan kadar faedah semalaman kepada julat 4.75 peratus hingga 5.00 peratus.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, biarpun ringgi kian mengukuh, namun pemimpin pembangkang tidak melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang baik buat negara.

“Kadang-kala dalam kalangan kita sebelah sana (pembangkang) tak nampak. Dia kalau ringgit itu lemah, dia hentam dan caci kita berterusan, bila menguat (senyap).

“Kita kata Alhamdulillah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast