Anggota bomba membantu mengalihkan sebuah kenderaan yang terperangkap dalam banjir kilat di Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) berhampiran Kampung Gangsa yang menjadi lantara lokasi banjir berulang di Melaka. - Gambar Ihsan JBPM Melaka

MELAKA – Jawatankuasa khas menangani kes banjir kilat berulang digesa mengenalpasti punca bencana itu secara teoritikal dan turun padang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, langkah itu sekali gus dapat menilai anggaran kos bagi tindakan pelan jangka pendek yang dapat mengurangkan impak kawasan terjejas akibat banjir.

Tegasnya, beliau memandang serius isu banjir berulang di kawasan sama bulan lalu yang mana sepatutnya beberapa tindakan dalam pelan jangka pendek telah pun diambil.

“Setidak-tidaknya ini dapat meminimumkan paras kenaikan air di mana kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan perparitan dan sungai-sungai yang menuju ke final discharge dapat disegerakan supaya pengaliran air keluar daripada hulu ke hilir boleh dipercepatkan.

“Bagi tujuan itu, jawatankuasa task force yang diketuai  Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri perlu menyegerakan sesi perbincangan bagi mengenal pasti punca banjir secara teoritikal dan turun padang,” katanya.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, rentetan ramalan ribut dan hujan yang berpanjangan ketika ini, rakyat diingatkan mengambil sikap kesiapsiagaan yang tinggi.

“Mereka perlu sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan sebarang bencana yang mungkin berlaku ekoran ketidaktentuan cuaca masa kini.

“Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan ramalan cuaca ekoran penumpuan angin yang berlaku di utara Semenanjung dan Barat Sabah,” katanya.

Tambahnya, keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang berserta laut bergelora di Perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast