Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, Puchong, tengah hari tadi.

PUCHONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak membatalkan semua tiket penerbangan dan hotel penginapan melibatkan sebuah kementerian dan agensi kerajaan yang menyertai satu pameran di Berlin, Jerman.

Beliau berkata, tindakan drastik itu dibuat susulan pelanggaran semangat reformasi yang sedang dilakukan Kerajaan Perpaduan ini, apatah lagi perkara itu tidak dibentangkan ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Reformasi dalam jabatan kerajaan, syarikat-syarikat kerajaan dan agensi-agensi, mesti berterusan.

“Ini kerana ada keterlanjuran, ada pesta atau pameran di Berlin, (walaupun) kecil, tapi saya lihat kepada kakitangan kementerian dan agensi-agensi berkenaan, seramai 68 orang yang mendaftar untuk pergi.

“Sebahagian kecil mungkin terlibat dan diperlukan, jadi saya ambil satu keputusan yang tegas membatalkan seluruh lawatan itu walaupun tiket penerbangan dan hotel telah disediakan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Perdana Menteri juga memberitahu, dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu kerajaan lebih tegas menuntut semua syarikat agensi kerajaan membuat sesuatu keputusan dengan memihak kepada kepentingan awam

“Semua projek baharu, lawatan ke luar negara mesti dirujuk kepada ketua setiausaha ataupun ketua pengarah dan diluluskan oleh menteri berkenaan supaya ada yang akhirnya bertanggungjawab secara langsung.

“Ini sebagai mesej yang jelas, kita bercakap soal reformasi, menteri-menteri untuk melawat mesti bentang kertas kepada jemaah menteri dan selalunya kita perlu buat potongan apakah perlu dua staf, atau tiga staf.

“Kalau tidak perlu diminta tangguh dan boleh disekalikan dengan lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di mana MoU ditandatangani sekali untuk menjimatkan belanja,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, walaupun pentadbiran beliau memberikan mesej yang jelas mengenai usaha itu, namun masih berlaku pelanggaran peraturan dan semangat reformasi.

“Ini dana rakyat, dan kita harus bertanggungjawab.

“Semalam saya ada pertemuan dengan KSN, KPPA dan semua KSU kementerian untuk menyatakan ketegasan kita dan meminta kerjasama mereka.

“Majoriti penjawat awam terutama di peringkat tinggi memahami dan menyokong, tetapi pelanggaran ini tidak boleh diizinkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here