Chow Kon Yeow.

BUTTERWORTH – Pulau Pinang menjangkakan keadaan cuaca yang semakin pulih menyumbang kepada penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di tiga daerah di Seberang Perai secara berperingkat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tujuh PPS yang menempatkan 556 mangsa banjir ketika ini dijangka akan ditutup dalam tempoh sehari dua berikutan trend penurunan jumlah mangsa.

“Bilangan mangsa yang dipindahkan ke PPS semakin berkurang setiap hari dan jika cuaca terus baik pusat-pusat ini boleh ditutup sepenuhnya tidak lama lagi.

“Meskipun jumlah mangsa semakin menurun, bantuan tetap disediakan kepada mereka yang masih berada di pusat-pusat tersebut termasuk makanan, minuman dan tempat tinggal sementara.

“Pemantauan situasi semasa masih dilakukan bagi memastikan keselamatan mangsa terjamin sehingga semua pusat pemindahan dapat ditutup sepenuhnya,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Kon Yeow merasmikan pembukaan Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama sama Pulau Pinang akan mengikut langkah Kedah memberi sumbangan tunai kepada mangsa banjir, Kon Yeow menegaskan Pulau Pinang tiada dasar sedemikian susulan sukar mendefinisikan mangsa yang layak.

“Kita tak ada dasar sebegitu sebab selama ini kita memang susah nak define mangsa banjir..itu isu dia..,” katanya.

Media semalam melaporkan Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bercadang untuk mengisytiharkan darurat susulan banjir di beberapa kawasan di negeri itu kerana situasi dilihat semakin reda.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tiada keperluan untuk membuat keputusan demikian meskipun terdapat beberapa kawasan di Seberang Perai dan bahagian pulau yang mengalami ribut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here