Mohamed Azmin.

KLUANG – UMNO tidak lagi takut dan menyembunyikan ‘isteri baharunya’ apabila tampil bergandingan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, UMNO berani berbuat demikian berbeza dengan PRK DUN Nenggiri bulan lalu.

“(Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi (UMNO) sudah berkahwin dengan DAP tetapi di (PRK DUN) Nenggiri dia sorok isteri baru dia, tak mahu orang Melayu tengok, takut (kalah).

“Tapi di Mahkota dia bawa isteri baru dia,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Azmin berkata, UMNO berjuang lebih 60 tahun menentang DAP disebabkan ideologi politik mereka  yang berbeza tetapi kini sudah berubah.

Dalam pada itu, beliau berkata, DAP hari ini sudah melampau apabila mencetuskan kontroversi berhubung pensijilan halal baru-baru ini sehingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

“Mengapa perkara ini dibangkitkan, apa masalah Teresa Kok,” soal beliau terhadap kenyataan Naib Presiden DAP dan Ahli Parlimen Seputeh itu.

Katanya, isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan kerana sijil halal tidak sepatutnya menjadi isu besar sehingga mengundang kemarahan orang Islam.

Mengimbas kembali semasa beliau menjadi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Azmin berkata, ketika itu beliau melihat permintaan yang tinggi dalam kalangan orang bukan Islam untuk pensijilan halal.

“Saya terlibat perbincangan dengan semua pelabur dan syarikat luar dan tempatan. Sijil dan logo halal Jakim (Jabatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) bukan sahaja dihormati tetapi diiktiraf di seluruh dunia.

“Koera, Jepun dan Thailand, banyak negara bukan Islam datang jumpa saya untuk dapatkan sijil halal kerana pasaran lebih luas,” katanya.

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jakim sedang mempertimbang cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol

Susulan itu, Teresa Kok mempersoalkan cadangan itu dengan berkata, cadangan tersebut akan menambah beban kepada perniagaan, termasuk milik orang Islam.

Kenyataan itu mengundang kecaman, terutama daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal yang menyifatkan Terese Kok masuk campur dalam hal ehwal orang Islam.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here