Ihsan Foto: Bomba

SEREMBAN – Seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya terbakar setelah dihempap sebuah bongkah konkrit yang terjatuh dari treler di Jalan Mambau, di sini, pagi tadi.

Menurut Komander Operasi Kanan Ahmad Khomeini Kamarudzaman, kemalangan melibatkan sebuah treler yang membawa bongkah longkang konkrit dengan dua buah kereta.

Katanya, kejadian berlaku apabila bongkah konkrit itu terjatuh dan menimpa dua kereta yang mana salah satu daripadanya musnah terbakar 100 peratus.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.28 pagi, pasukan dari BBP Seremban 2 telah bergegas ke lokasi kejadian dan tiba 10 minit kemudian sebelum mendapati sebuah kereta Proton Saga FLX sedang terbakar

“Walaubagaimanapun, pemandu berusia 31 tahun itu bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan selepas diselamatkan oleh pemandu treler berkenaan.

“Kami sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamat kenderaan, namun tidak berjaya dan kereta itu telah hangus 100 peratus.

“Daripada maklumat yang kami perolehi daripada mangsa bongkah konkrit itu terjatuh ke bahagian hadapan kereta yang dipandunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Ahmad Khomeini, sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 30 tahun dilaporkan rosak di bahagian belakang kerana tidak sempat mengelak bongkah konkrit tersebut.

Dia dan pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah Ahmad Khomeini, kejadian itu telah menyebabkan kesesakan kira-kira tujuh kilometer di kedua-dua arah.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here