Lebih 10 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dan dibawa ke IPK Selangor untuk proses dokumentasi dalam satu serbuan di pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh rangkaian GISBH ketika di Bandar Country Homes, Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai 155 pengikut Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini melibatkan 78 lelaki dan 77 wanita menerusi Operasi Global (Op Global) Fasa 4 yang dijalankan di seluuruh Semenanjung sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin berkata, pihaknya juga berjaya menyelamatkan 186 mangsa melibatkan 102 leaki dan 85 wanita termasuk kanak-kanak yang dirotan oleh seorang lelaki ahli GISBH hingga  tular di media sosial.

“Kesemua tangkapan ditemui menerusi pemeriksaan ke atas 82 permis melibatkan rumah amal, klinik, prmeis perniagaan, maahad dan rumah persendirian.

“Mereka kemudian telah dibawa ke formasi masing-masing dan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“PDRM bersama JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) turut membuat beberapa rampasan seperti risalah-risalah mengandungi elemen-elemen yang dipercayai bercanggah dengan ajaran Islam serta barang khurafat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barang rampasan dalam Op Global Fasa 4 di Kelantan. Foto Ihsan PDRM

Tambah Razarudin, menerusi operasi yang dijalankan itu PDRM mendapati beberapa premis yang diserbu telah dikosongkan dipercayai ahli GISBH telah melarikan diri.

“Justeru, PDRM menasihatkan mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu polis melengkapkan siasatan terhadap kes berkenaan secara tuntas dan menyeluruh,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here