PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Garis Panduan Tadbir Urus Dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (Artificial Intelligence Governance And Ethics – AIGE) sebagai rujukan para pemain industri dan bagi mengelakkan penyalahgunaannya.
Garis panduan ini merupakan kerangka kerja, polisi, dan piawaian yang mengatur cara AI dibangunkan, diuji dan diterapkan untuk mengelakkan risiko tidak beretika seperti bias dalam keputusan, pelanggaran privasi, atau kehilangan pekerjaan akibat automasi.
Dalam masa sama, garis panduan ini menyokong pelaksanaan pelan hala tuju AI negara 2021-2025.
Menterinya Chang Lih Kang berkata, terdapat tujuh prinsip AI terkandung dalam garis panduan ini bagi mengelakkan penyalahgunaannya sehingga mengundang pelbagai implikasi.
Prinsip-prinsip itu ialah adalah kesaksamaan; kebolehpercayaan, keselamatan dan kawalan; kerahsiaan dan keselamatan keterangkuman; ketelusan; akauntabiliti dan mensasarkan kesejahteraan dan kemaslahatan manusia.
“Penyalahgunaan AI ini menimbulkan banyak cabaran dari segi etika, privasi dan keselamatan dan memerlukan pengawasan serta peraturan yang lebih ketat di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika berucap di majlis peluncuran AIGE yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Mohammad Yusof Apdal dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Menurut Chang, garis panduan tersebut dibangunkan khusus untuk kegunaan dan rujukan utama pengguna, penggubal polisi dan penyedia teknologi.
“Pengguna adalah kategori khusus untuk individu yang menggunakan produk AI dalam kehidupan seharian seperti telefon pintar dan perkakasan pintar di rumah atau bidang pekerjaan seperti penggunaan aplikasi/sistem berasaskan AI.
“Garis panduan ini berfungsi sebagai sumber rujukan bagi penggubal dasar (Penggubal polisi kerajaan/agensi/organisasi/institusi) dalam menyediakan panduan dan rangka kerja yang praktikal untuk penggunaan teknologi AI dan memastikan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika.
“Bagi kategori pereka, penyedia dan pembekal teknologi, garis panduan ini meletakkan dasar yang memastikan keadilan daripada aspek sistem AI, melindungi privasi data dan mempertimbangkan kesan sosial dan alam sekitar daripada aplikasi AI yang digunakan.
“Pemain industri juga harus menyumbang secara aktif kepada pembangunan dan penyelenggaraan set data terbuka, memupuk kerjasama, inovasi, dan memastikan perlindungan privasi dan keselamatan,” jelas beliau.
Katanya lagi, pematuhan AIGE bukan hanya akan meningkatkan reputasi pembangun dan organisasi, menetapkan piawaian industri untuk pembangunan AI secara beretika malah dalam masa yang sama memberi kelebihan terhadap daya saing dengan menarik pengguna dan pelabur yang mengutamakan etika dalam pelaburan AI masing-masing.
“Memandangkan kemajuan teknologi dan pertimbangan etika yang semakin berkembang, penting untuk kita secara proaktif menangani cabaran dan peluang yang timbul, memastikan sistem AI memenuhi piawaian semasa serta dapat menyesuaikan diri dengan dilema etika masa depan.
“Dengan menerima pakai dan mematuhi tujuh prinsip AI yang terkandung dalam garis panduan ini, kita dapat menyumbang kepada kemajuan AI yang memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat,” ujar Lih Kang.
Beliau memberitahu, penyalagunaan AI boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya penyebaran maklumat atau berita palsu; penipuan dan pemalsuan identity termasuklah pemalsuan dan manipulasi data sensitif negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berkepentingan berganding bahu dalam memajukan penggunaan kecerdasan buatan yang bertanggungjawab dan beretika.- MalaysiaGazette