KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) khususnya daripada Parti Islam SeMalaysia (Pas) dicabar untuk membawa usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada sidang Parlimen, 14 Oktober ini.
Perdana Menteri berkata, itu kaedah yang terbaik kepada wakil rakyat Pas yang berhasrat untuk menjatuhkan beliau mengikut Perlembagaan Persekutuan dan bukan membuat tuntutan itu di dalam Muktamar Pas ke-70, baru-baru ini.
“Malam ini baru saya jawab, tunggu 20 September baru jawab, kerana apa, 20 September ini menggelegak semangat reformasinya. Mahu main-main dengan kita, ada 30 orang (kerusi), Anwar turun, negara apa ini, sistem apa?
“Ingat negara dia, tak ada ikut peraturan, tak ada ikut hukum. Saya beritahu, kalau betul nak suruh turun, saya yang bawa usul undi percaya, iya, ini bukan sembarangan saudara, kita panglima reformasi.
“Nak turunkan sila, saya beri jaminan, ada usul, sidang Parlimen 14 Oktober ini, bawa usul, sempat, kamu lambat pun saya luluskan, bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya berucap pada Himpunan Keadilan, Suara Rakyat, Suara Keramat di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, Muktamar Dewan Pemuda Pas yang menutup tirainya pada 12 September lalu meluluskan usul mendesak Anwar supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Usul yang dibawa perwakilan Dewan Pemuda Pas Bahagian Tambun itu rata-ratanya berdasarkan dakwaan berlaku kepincangan pentadbiran yang membawa kepada hala tuju negara.
Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR pula menemplak pimpinan Pas yang sepatutnya ‘turun’ kerana gagal membantu rakyat Kedah yang sedang berdepan dengan masalah banjir ketika ini.
“Banjir yang teruk di Kedah, esok pagi Insya-Allah saya terbang ke Kedah. Projek di Kelantan banyak yang tak terurus, dilaksana dengan baik, Insya-Allah saya sampai ke Kelantan 1 Oktober.
“Tak payah jerit, tengok penyokong-penyokong dia, turun…turun, memanglah turun, kamu tu turun dulu. Banjir pun tak terurus, muka ini (Anwar) yang nak pergi tolong di Kedah esok.
“Kita boleh turun sebab apa? Sebab ekonomi terurus, sebab dalam susah payah pun, kalau orang miskin saya tidak pernah jawab tidak ada wang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette