Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pulau Pinang kini pulih sepenuhnya daripada banjir selepas penutupan lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terakhir yang menempatkan 259 mangsa pagi tadi. 

Cuaca cerah sejak semalam mempercepatkan proses surut air banjir yang melanda sejak Selasa lalu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, kesemua mangsa daripada 72 keluarga yang ditempatkan di PPS di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Hasil pemeriksaan dan pemantauan pihak berkuasa mendapati banjir di ketiga-tiga daerah tersebut telah surut sepenuhnya dan semua mangsa dibenarkan pulang,” menurut kenyataan itu.

PPS yang ditutup termasuk tiga di SPU iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, SK Lahar Yooi, dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting. Satu PPS di SPT, Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, dan satu lagi di SPS, Dewan MPKK Sanglang juga ditutup secara berperingkat pagi tadi.

Bencana banjir yang bermula sejak Selasa lalu telah menyebabkan lebih 700 orang dipindahkan ke 11 PPS di seluruh Pulau Pinang, selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat dan angin kencang. Kejadian itu turut merosakkan puluhan rumah serta menyebabkan ratusan pokok tumbang.

Sementara itu, di Perlis, tiga PPS terakhir yang menempatkan 90 mangsa di Kangar dan Arau turut ditutup sepenuhnya tengah hari tadi setelah air surut.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata PPS yang ditutup termasuk SK Sena di Kangar, serta SK Dato Ahmad Musa dan SK Kubang Gajah di Arau.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Sungai Padang dan Kampung Kubang Gajah bagi kawasan Arau manakala Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Sena dan Kampung Seberang Tambang di Kangar,” jelasnya.

Untuk rekod, PPS di Perlis telah beroperasi sejak 17 September ​​dengan SK Sena dan SK Arau menjadi pusat pemindahan utama, sebelum ditutup sepenuhnya pada hari ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here