Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi bercakap kepada pemberita pada sidang media mengenai surat layang sempena pilihan raya kecil Dun Mahkota di Pusat Operasi Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Kluang. Foto SADIQ SANI, 21 SEPTEMBER 2024

KLUANG – DAP mengecam tindakan pihak tertentu menyebarkan surat layang yang menakut-nakutkan penduduk Cina supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu depan.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, surat layang itu mengajak pengundi Cina menghukum calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Mahkota disebabkan pergeseran antara dua pemimpin DAP dan UMNO sebelum ini.

Jelasnya, surat layang itu dikesan dimasukkan ke dalam peti surat penduduk di beberapa buah taman perumahan antaranya Taman Sri Kluang; Taman Suria; Taman Liang Seng dan Taman Pelangi di sini malam tadi.

“Kita menerima aduan daripada penduduk yang melihat terdapat individu berjalan kaki dari rumah ke rumah menyebarkan surat layang dalam bahasa Mandarin ini tengah malam tadi.

“Kita mengutuk taktik kotor kempen sebegini dan kita tidak menuduh mana-mana pihak tetapi kandungan surat layang ini sudah pastinya memberi kelebihan kepada pihak lawan,” katanya pada sidang akhbar di sini petang ini.

Sementara itu, Shu Qi yang juga penyelaras utama jentera DAP bagi membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Mahkota menambah, pengundi Cina tidak seharusnya terpengaruh dengan kandungan surat layang tersebut dan perlu menjalankan tanggungjawab mereka mengundi pada 28 September ini.

Katanya, kandungan surat layang itu juga tidak berasas kerana isu berkenaan pergeseran antara dua pemimpin UMNO dan DAP tersebut sudah diselesaikan antara pucuk pimpinan kedua-dua parti.

“Pengundi Cina juga perlu keluar mengundi untuk menunjukkan kestabilan politik dalam negara sekali gus meyakinkan pelabur asing untuk terus melabur dan merancakkan semula ekonomi negara,” katanya.

Ditanya sama ada DAP akan membuat laporan polis berhubung penyebaran surat layang itu, Shu Qi berkata, pihak akan mempertimbangkan perkara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast