Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

KUALA LUMPUR – Institut Kefahaman Malaysia (IKIM) memandang serius dakwaan dilemparkan terhadap Radio IKIM (IKIMfm) yang muncul di platform media sosial.

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pihaknya sentiasa menghormati perbezaan pendapat dan meraikan kepelbagaian mazhab yang ada dalam Islam.

“Perkara ini telah ditekankan berulang kali oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam beberapa siri pertemuan dengan Pengurusan IKIM dan juga menjadi dasar kerajaan yang mentadbir negara ini hari ini.

“Penegasan sama turut disokong oleh ulama luar negara seperti Sheikhul Al-Azhar dalam lawatan beliau ke Malaysia baru-baru ini yang turut bertemu ilmuwan termasuk dari IKIM yang menyeru untuk sentiasa mengamalkan semangat menjaga keharmonian dan perpaduan antara sesama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, kandungan radio IKIMfm sentiasa dipastikan segar dengan kupasan ilmiah dan kuasan isu terkini dan semasa bersama tetamu-temau yang pakar dalam bidang masing-masing.

Mohamed Azam menambah, IKIMfm mempunyai lebih 40 program seminggu dalam pelbagai bentuk yang bersifat mendidik dan menghibur para pendengar dari khalayak masyarakat yang pelbagai bidang serta taraf pendidikan.

“IKIMfm terikat dengan garis panduan, peraturan, dan akta-akta yang dikanunkan bagi menjaga kemurniaan Islam, dan keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti mana Garis Panduan Hiburan JAKIM, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Akta Pengiklanan dan seumpamanya.

“Dalam masa sama, IKIMfm juga perlu menghormati dasar negara ini yang berpegang teguh kepada manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagai amalan negara ini dan mengelak daripada mengeluarkan pandangan yang menyalahi keputusan Muzakarah MKI dan fatwa negeri-negeri kerana IKIMfm boleh didengari di seluruh negara,” ujarnya.

Katanya lagi, sejak IKIMfm ditubuhkan pada 6 Julai 2021, Pengerusi pertama IKIM, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah menggariskan beberapa dasar yang perlu dipatuhi.

Ia bagi memastikan IKIMfm menjadi radio yang dihormati dan disegani dan bukan menjadi ejen propaganda atau dakyah mana-mana pihak sesuai dengan peranan IKIM sebagai sebuah badan pemikir.

“Antaranya tetamu radio IKIMfm yang diundang bersiaran hendaklah bermanhaj ASWJ bagi menghormati amalan majoriti masyarakat di negara ini dan untuk tidak mengelirukan orang awam.

“Seterusnya, IKIMfm juga menetapkan untuk menjaga sensitiviti 3R iaitu tidak menyentuh apa-apa perkara yang berhubungan dengan kedaulatan dan Kuasa Yang di-Pertuan Agong serta mana-mana Raja sebagai Ketua Agama Islam, agama dan kaum,” jelasnya. – MalaysiaGazette