Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika menghadiri ceramah kelompok Perikatan Nasional sempena pilihan raya kecil Dun Mahkota di Taman Emas, Kluang. Foto SADIQ SANI, 20 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan syarat yang ditetapkan di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang seperti mahu menutup mulut mereka daripada bersuara dan hanya mengikut telunjuk kerajaan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, syarat-syarat tersebut membuatkan pembangkang tidak boleh lagi menegur kerajaan dan tiada peranan dalam semak dan imbang.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, pembangkang perlu patuh terhadap syarat-syarat yang dinyatakan dalam MoU berkenaan sekiranya mahu menerima peruntukan.

“Syarat-syaratnya macam tutup mulut kami, ikat kaki dan tangan semua sekali, ikut sahaja apa dia (kerajaan) mahu, kena setuju dengan apa yang kerajaan buat.

“Jadi peranan kami nak menegur kerajaan tu apa, dia kata tak boleh tegur, kalau (tegur akan) bangkitkan kebencian, ini sangka buruk.

“Macam mana nak tadbir negara kalau sangka buruk pada pihak lain, (anggap) kami ini musuh, kami bukan musuh negara, mungkin dia tak setuju dengan saya tapi itu tanggungjawab kami (untuk menegur kerajaan),” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian ketika berucap dalam ceramah kelompok di Taman Ehsan di sini malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Pengerusi Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak sewajarnya meremehkan dan memperkecilkan kedudukan pembangkang kerana mereka mempunyai peranan dalam sistem demokrasi negara.

“Jangan langsung tak pandang kami pembangkang kerana sudah ada kuasa, jadi kerajaan tidak boleh begitu, kita waktu jadi kerajaan tidak pernah perlekehkan pembangkang kerana tahu dalam demokrasi perlu ada semak dan imbang,” katanya.

Namun katanya, PN yang menjadi pembangkang ketika ini memohon pertolongan supaya peruntukan pembangunan dapat disalurkan kerajaan.

“Patut soal peruntukan pembangunan yang bukan besar diberikan kepada semua ahli Parlimen pembangkang. Mula-mula agak baru takpelah (tidak diberikan pada awal pemerintahan Kerajaan Perpaduan), dah habis setahun sekarang masuk dua tahun.

“Runding punya runding tapi tak selesai. Baru-baru ini dia hantar draf MoU nak suruh kita tanda tangan, itu sudah didedahkan, bukan kita dedahkan tapi dia dedahkan,” katanya.

Muhyiddin berkata, peruntukan kepada semua ahli Parlimen pembangkang diberikan tanpa sebarang syarat semasa PN menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Kami juga ada pengalaman mentadbir negara. Waktu kita tadbir negara (pembangkang) tak payah minta, kita bagi ja, tak payah MoU, semua dapat, kerajaan dapat pembangkang dapat,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihak pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU berkenaan.

Fadillah berkata, draf sedia ada boleh menjadi asas kepada perbincangan beliau turut menjelaskan sehingga hari ini, pihaknya belum lagi dihubungi pihak pembangkang bagi meneruskan perbincangan berkaitan MoU itu.

Pada 16 September lalu, Kerajaan Perpaduan telah mendedahkan dua draf MoU yang dirangka bersama-sama sebagai bukti ketelusan dalam perundingan mengenai peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang.

Fadillah berkata, keputusan itu dibuat susulan kenyataan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang, bahawa PN menolak cadangan MoU berkenaan.

Rabu lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan diminta menyediakan draf MoU baharu selain menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan mengenai MoU antara kerajaan dan pembangkang.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ko jgn nak belitlah Mudin Kaki Sakau…MoU tu ialah tentang 3R dan usaha jatuhkan kerajaan tanpa melalui pilihanraya yg sah utk tubuh kerajaan tebuk atap…tahun 2021 ok jaaa PH signed MoU dgn kerajaan…tanpa MoU pun ko jd pembangkang paling tak guna ..

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here