Muhyiddin ketika berucap dalam ceramah kelompok di PDM Kampung Melayu Timor II, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak gentar untuk terus bercakap benar semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota walaupun sebelum ini sudah disiasat kerana lantang bersuara dalam dua PRK sebelum ini.

Bagaimanapun Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengakui masih perlu berhati-hati ketika menyampaikan ucapan kerana tidak mahu perkara yang sama berulang iaitu disiasat lagi.

“Ini ada FB live, ada juga pemberita bukan Melayu depan saya ni, dia tengah ambil apa yang saya tengah cakap. Saya tak takut soal itu pasal penting sebagai pemimpin dalam negara, kita menyampaikan sesuatu yang hak, sesuatu yang betul.

“Dalam ucapan-ucapan saya yang lalu telah menyebabkan saya dipanggil dan menghadapi pertuduhan-pertuduhan, bukan saya berbohong, saya bercakap yang benar,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian ketika berucap dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Timor II di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Muhyiddin menegaskan, perlu bercakap benar walaupun pahit dan perlu memberitahu serta memberi kesedaran tentang hak keistimewaan dan kedudukan orang Melayu dalam negara.

“Kalau kita tak sentuh soal itu bermakna kita takut rakyat tidak faham dan hanya tunduk kepada apa sahaja situasi dan keadaan walaupun mereka tahu situasi itu tidak benar.

“Sebab itulah saya menyatakan hak terutama untuk orang Melayu faham, kita ada Perlembagaan negara yang menjamin hak dan kedudukan Melayu, Bumiputera dalam negara kita,” katanya.

Namun bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau turut memberitahu tentang hak dan jaminan bangsa lain yang ada dalam Perlembagaan.

Jelasnya, turut menyentuh berkenaan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu dan bahasa kebangsaan yang menjadi teras dalam Perlembagaan negara.

Pada 27 Ogos lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang berhubung ucapannya yang dikatakan menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika berkempen pada (PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

Sebelum ini tular dalam media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here