KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui dia seorang bekas banduan, namun pemimpin-pemimpin Pas terdahulu sendiri yang mempertahankan beliau kerana semua tuduhan yang dihadapinya adalah fitnah.
Beliau berkata, ini kerana pemimpin Pas terdahulu lebih mengetahui Islam, fitnah dan kekejaman bekas pemimpin negara terhadap dirinya dan menindas rakyat.
“Iya saya memang bekas banduan, tapi banduan terhormat, dengan tuduhan zalim dan keji dulu kamu, bapa-bapa kamu, pemimpin-pemimpin Pas antara pertama benteng pertahankan kami dan menolak fitnah itu.
“Bapa-bapa kamu, pejuang besar seperti Almarhum Fadhil Noor, ulama besar seperti Tok Guru Nik Abdul Aziz, imam besar seperti Taib Azimuddin, orang-orang ini yang pertahankan banduan ini.
“Kerana apa, kerana mereka tahu hukum, mereka tahu Islam, mereka tahu itu fitnah, mereka tahu bagaimana sang saka tua zalim dan menindas rakyat,” katanya berucap pada Himpunan Keadilan, Suara Rakyat, Suara Keramat di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, bagaimanapun perkara itu tidak diketahui generasi muda hari ini yang jahil tentang sejarah malah dipergunakan bekas pemimpin yang terpalit dengan kes rasuah.
“Anak-anak mereka yang jahil tentang sejarah, yang jadi perkakas kepada perasuah, yang menjadi alat kepada orang-orang yang mencuri harta, sekarang mahu menjadi jaguh? Malu kamu.
“Mereka tahu bagaimana berbilion ringgit perkayakan kelompok-kelompok mereka, itu pendirian pemimpin-pemimpin terdahulu termasuk pemimpin-pemimpin Pas.
“Bagaimana pemimpin mereka sekarang? Sokong penyakau, sokong perompak, tak berani sepatah sebut bagaimana beberapa orang menteri dulu punyai kekayaan berbilon ringgit. Mana suara mereka?” katanya.
Katanya lagi, Pas pernah bersama dengan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan, namun mereka memilih untuk meninggalkan gagasan itu kerana sikap yang kurang sabar dengan perjuangan.
“Sekarang kita bertapak di mana, Alhamdulillah, dengan kerjasama dengan kawan-kawan kita dalam Kerajaan Perpaduan, bukan sahaja kawan-kawan setia, DAP dan Amanah, sebelumnya Pas, tapi memilih meninggalkan kita.
“Mereka kurang sabar, mereka mahu tebuk atap dan pagar kuasa. Sekarang oleh kerana atap ditebuk, mereka jatuh roboh atap itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette