Haizan ketika berkempen memperkenalkan diri dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, 61, nekad membantu orang susah dan golongan memerlukan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat nanti.

Jelas beliau, ini kerana pengalaman hidupnya berasal daripada keluarga susah membentuk dirinya menjadi seorang yang kuat dalam berdepan sebarang situasi.

Katanya, semasa menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kluang (2021-2022) dan kini masih lagi Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Kluang, kebajikan komuniti sentiasa menjadi keutamaannya.

“Saya pernah menjadi ahli majlis buat kerja-kerja kebajikan contohnya buat parit dan mengadakan tempat perniagaan. Saya sentiasa mengutamakan komuniti dan Kebajikan.

“Ini kerana saya dahulu berasal daripada orang susah, duduk dengan ibu saya enam beradik. Memang susah sebab cari kerja sendiri jual rebung dan kangkung sebelum menjualnya.

“Semasa susah banyak orang dan jiran-jiran tolong saya, beri kasut, bagi makan. Jadi masa itu saya berjanji kalau menjadi seseorang atau berjaya, saya niat akan bantu orang lain.

“Itu memang tekad saya dari dulu,” katanya ketika berkempen memperkenalkan diri dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di sini malam tadi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan berkata, semasa memegang jawatan sebagai ahli majlis dan menyelaraskan 28 KRT di daerah ini, banyak program dianjurkan.

“Saya banyak buat kebajikan seperti program ziarah dari rumah rumah melawat orang yang tidak sihat selain tanah sayur sebagainya. Ini untuk memajukan KRT,” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

PN mempertaruhkan Mohamad Haizan yang merupakan bekas pemain bola sepak Johor manakala BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here