Fadillah (dua kiri) melakukan gimik pelancaran Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Pembentangan pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di Parlimen pada November ini memberi tumpuan kepada hukuman yang lebih berat termasuk penjara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pindaan tersebut juga bagi memastikan tidak ada kelompangan untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan pencemaran.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) itu menjelaskan, salah satu daripada usaha kerajaan yang adalah menubuhkan jawatankuasa bertindak melibatkan Persekutuan dan negeri, agensi terbabit dan pemegang taruh.

“Daripada mesyuarat tersebut banyak perkara yang diusulkan melihat sudut perundangan iaitu pindaan kepada undang-undang yang telah diluluskan Kabinet, Insya Allah akan dibawa ke Parlimen hujung tahun ini sesi bulan November.

“Kita hendak perluaskan definasi sungai dan juga pencemaran, supaya ada klarifikasi, untuk kita tutupkan kelompangan dari segi perundangan, supaya lebih jelas untuk diambil tindakan nanti dan kita boleh sabitkan mereka yang menyebabkan pencemaran (sungai).

“Hukuman juga ditingkatkan kalau dulu mungkin RM1 juta hingga maksimum boleh naik ke RM10 juta malah boleh dipenjarakan, itu pindaan kita akan buat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Petra, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Fadillah berkata, selain aspek pemindaan akta, perkara yang perlu diberi keutamaan dalam penjagaan sungai di negara ini ialah aspek pencegahan bagi mengelakkan pencemaran berlaku.

“Pertama saya melihat pencegahan lebih penting. Memberi kesedaran tentang kepentingan sungai melibatkan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), komuniti setempat untuk memelihara sungai,” ujarnya.

Pihak Persekutuan dan negeri katanya, perlu bersama-sama mengambil tindakan termasuk memindahkan kilang-kilang yang beroperasi di tepi sungai.

“Kalau tidak boleh dipindahkan, kita kena pastikan teknologi supaya bahan terkawal dibuang ke tempat sepatutnya dan elakkan dari dibuang dan dilepas terus ke sungai,” katanya.

Pada awal bulan ini, beberapa siri pencemaran bau yang dipercayai akibat sisa kimia dibuang ke dalam sungai berlaku di Johor Bahru melibatkan beberapa kawasan.

Tian Soon berkata, kerja pembersihan sisa bahan terjadual itu akan dibuat di dua lokasi punca pencemaran iaitu di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here