Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin (tiga kiri) dan Ketua Gerak Gempur PN Kluang, Shazni Sulaiman (dua kiri) bergambar bersama kertas laporan Polis yang dibuat terhadap dakwaan penyalahgunaan aset kenderaan untuk berkempen pada pilihan raya kecil Dun Mahkota di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Johor. Foto SADIQ SANI, 21 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Perikatan Nasional (PN) mendakwa program Jom Orang Mahkota iaitu siri jelajah bertemu rakyat yang diketuai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sekali gus mendesak pihak polis menjalankan siasatan.

Ketua Gerak Gempur PN Kluang, Shazni Sulaiman berkata, ia kerana program itu menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu depan, sekali gus boleh dianggap sebagai rasuah.

Dalam masa sama program itu turut menggunakan aset kerajaan selain kakitangan awam dikerah bagi menjayakan program tersebut.

Ketua Gerak Gempur PN Kluang, Shazni Sulaiman. Foto SADIQ SANI, 21 SEPTEMBER 2024

Malah, katanya, calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah juga dilihat turut bersama-sama Onn Hafiz dalam semua program tersebut yang disifatkan satu bentuk kempen bagi PRK berkenaan.

“Berjuta duit rakyat hangus digunakan untuk kempen Barisan Nasional (BN) atas nama Jelajah Orang Mahkota.

“Sebanyak 18 aktiviti berlangsung sepanjang dua hari penganjuran program tersebut yang menggunakan duit rakyat melalui pelbagai agensi kerajaan sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kluang, di sini petang ini, yang turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard.

Sementara itu, Badrul Hisham turut mengecam kempen BN yang didakwa `menggula-gulakan’ pengundi DUN Mahkota dengan pelbagai program yang menawarkan hadiah menarik serta membawa artis untuk membuat persembahan.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin . Foto SADIQ SANI, 21 SEPTEMBER 2024

Katanya, kempen seperti itu tidak memberi manfaat kepada pengundi DUN Mahkota kerana apa yang diperlukan penduduk di sini adalah penyelesaian kepada masalah seperti isu banjir, kemudahan awam yang usang dan terhad serta peluang pekerjaan dan pendidikan kepada golongan muda.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang seoalah-olah menutup mata terhadap kesalahan pilihan raya yang dilakukan jentera kempen BN berkenaan.

“Selain laporan kepada polis, kita juga mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya isu sogokan kepada pengundi ini dapat disiasat sewajarnya,”. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here