Serbuan dilakukan di Taman Krubong Perdana, Melaka

MELAKA – Polis Melaka membuat serbuan ke atas 15 premis milik rangkaian syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) sejak awal pagi tadi.

Dalam serbuan bermula pukul 7 pagi di semua tiga daerah, polis turut menahan 24 individu merangkumi 19 kanak-kanak, dua lelaki dan tiga wanita di sebuah kediaman dipercayai milik salah seorang ahli kumpulan GISB di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

Polis turut menyerbu rumah amal pertubuhan, restoran, kedai langsir, pasar mini, kedai bakeri dan sebuah kilang memproses kuetiau di Serkam dan sebuah pejabat pengurusan.

Kebanyakan premis yang diserbu bagaimanapun telah dikosongkan termasuk dua buah banglo yang dijadikan rumah amal pertubuhan itu di Krubong, Melaka Tengah.

Operasi diketuai Polis Kontinjen Melaka itu turut disertai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain jari ini mengesahkan beberapa siri serbuan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pusat perniagaan termasuk bangunan Ibu Pejabat GISBH di Bandar Country Homes, Rawang.

Serbuan berkenaan dilakukan sejak awal pagi tadi turut dilakukan di beberapa lokasi di seluruh negara.

Razarudin dilaporkan memberitahu, tindakan itu adalah sebahagian daripada siasatan PDRM selepas penahanan 31 individu termasuk Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH pada Khamis lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here