Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menghadiri ceramah kelompok Perikatan Nasional sempena pilihan raya kecil Dun Mahkota di Taman Emas, Kluang. Foto SADIQ SANI, 20 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan mencetuskan gelombang baharu kebangkitan rakyat menolak kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gelombang itu merupakan isyarat dihantar rakyat yang akan diteruskan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita nak beri isyarat kepada Anwar Ibrahim, kamu jangan ambil tindakan sewenang-wenangnya buat sesuka hati, buat dasar yang membawa beban kepada rakyat.

“Jadi di sinilah di (PRK DUN) Mahkota bermula gelombang baharu. Kita tentukan bermula satu gelombang baharu berterusan sampai PRU16.

“Ini supaya Johor boleh kita tawan semula (pada pilihan raya negeri nanti) dan di Malaysia pun kita pernah (PN memerintah) dan kita akan tawan semula,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian ketika berucap dalam ceramah kelompok di Taman Ehsan di sini malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Pengerusi Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Justeru kata Muhyiddin, pengundi PRK DUN Mahkota perlu membuat pilihan yang tepat dan mereka perlu keluar mengundi bagi memastikan peratusan tinggi pada Sabtu ini.

Beliau mendakwa, PN akan menang sekirannya peratusan mengundi tinggi.

“Minta kerjasama tuan-tuan keluar mengundi terutama orang Melayu, orang Cina tak payah cerita kerana tadi saya sudah berjumpa wakil dewan perniagaan Cina.

“Mereka nyatakan tidak puas hati dengan keadaan ekonomi sekarang ini, mereka banyak terkesan, dia kata akan keluar mengundi dan kita harap dia akan sokong (PN),” ujarnya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here