KUALA LUMPUR – Syarikat pengimport dan pengedar produk daging tempatan, FNF Golden Gate Sdn Bhd mengambil langkah berani mengeluarkan produk daging sedia dimakan untuk menerokai pasaran luar negara terutama di Eropah.

Menurut pengarahnya, Mujahid Che Hamid, di bawah jenama Hamid’s Gourmet, syarikat berkenaan menyasarkan nilai jualan sehingga RM500 juta tahun ini.

Mujahid Che Hamid

“Tetapi untuk pasaran tempatan, kita hanya sasar 10 peratus sahaja dan selebihnya kita fokus kepada pasaran eksport.

“Kita dapati negara-negara ini sangat berminat dengan produk daging Malaysia terutama yang mempunyai sijil halal seperti dimiliki produk Hamid’s Gourmet” katanya ketika ditemui media di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

Produk berasaskan daging 100 peratus itu menawarkan enam jenis produk iaitu Wangyu Tomahawk, Smoked Beef, Beef Meatball, Chicken Green Curry, Chicken Meatball dan Beef Kofta.

Terus mengambil strategik drastik, Mujahid berkata, Hamid’s Gourmet juga akan menyertai pameran antarabangsa di Paris bulan depan sebagai usaha memperkenalkan produk-produknya.

“Dengan kualiti premium dan citarasa Malaysia yang ditawarkan, kami yakin produk Hamid’s Gourmet mampu dikenali di pasaran antarabangsa dengan mudah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau yakin, produk daging sedia dimakan keluaran Hamid’s Gourmet mempunyai peluang besar di luar negara berbanding tempatan kerana kewujudan produk jenama lain sudah ada selain kualiti yang sentiasa dijaga rapi.

“Di pasaran tempatan, sudah ada pemain yang besar, kita tak mahu bersaing dengan mereka sebab itu kita kena keluar (eksport) untuk dapatkan pasaran yang lebih luas,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan FNF Golden Gate merancang untuk mengeluarkan jenama beras dan rempah ratus sendiri tidak lama lagi.

“Kita akan keluar dan rasmikan dijangka Disember nanti, produk-produk ini akan berada di pasaran,” katanya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here