Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Himpunan Keadilan, Suara Rakyat, Suara Keramat Dari Reformasi ke Malaysia Madani ketika di Stadium Axiata Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pemimpin pembangkang didakwa mengaut kekayaan negara ketika berkuasa dan menghalalkan perbuatan mereka dengan laungan ‘hidup Melayu’ untuk mengaburi mata rakyat.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang sering menuduh pentadbirannya tidak adil apabila tidak menyalurkan peruntukan kawasan, sedangkan apabila kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat pula dianggap zalim.

“Mana yang kata kita tidak adil, yang penting dia cakap peruntukan ahli Parlimen. Bagi wang kepada kamu, kami adil, bagi wang kepada rakyat, kami zalim.

“Saya nak bagitahu saudara-saudara, apa yang saya peduli bukan projek untuk ahli Parlimen, saya peduli projek kepada rakyat.

“Tak macam kamu, sudah kaya raya elaun ambil, pelbagai syarikat kamu ambil, sakau lagi, tu dia dia cakap, hidup Melayu, otak kamu hidup Melayu,” katanya berucap pada Himpunan Keadilan, Suara Rakyat, Suara Keramat di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Anwar yang juga Presiden PKR memberitahu, syarikat perbankan luar seperti HSBC yang bertapak di negara sejak 140 tahun lalu mengiktiraf pencapaian kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

“Mereka (HSBC) iktiraf, sejak kita ambil alih kerajaan, politiknya stabil, ekonominya melonjak, ringgitnya kuat, tapi kita tidak ditimpa perasan, kita tidak angkuh, kita masih tahu ada yang belum selesai.

“Apa dia? Kos sara hidup, sebab itu saya kata belanjawan Madani tahun ini (2025) akan cuba selesaikan sedaya upaya masalah harga barang kos sara hidup,” katanya.

Perdana Menteri turut membidas pemimpin pembangkang yang acap kali mendakwa ekonomi negara punah sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan sedangkan mereka hanya gemar berbohong setiap kali di pentas ceramah.

“Apa lagi yang tak kena, semua petanda ekonomi, kalau dengar ceramah, kalau masuk sekarang, ekonomi kita sudah hancur, eh ekonomi Afrika mana ni?

“Ringgit kita lemah, kamu tak baca surat khabar ker? Tak ikuti perkembangan.

“Sebab itu saya kata, apa hukum pertama dalam reformasi? Pencerahan, kesegaran, maklumat yang betul dan pertahankan berdasarkan ilmu, itu hukumnya reformasi.

“Bercakap soal ekonomi, ambil tahu dalam ekonomi, jangan jahil ekonomi, bersyarah tipu orang, nak tahu pasal Ringgit, baca ulasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast