Fadillah (tiga dari Kanan) merasmikan papan tanda alamat Sungai Tebrau di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Tiada perbincangan lanjut mengenai memorandum persefahaman (MoU) untuk peruntukan Ahli Parlimen pembangkang kerana sudah ditolak pihak pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, walaupun tidak dipersetujui, kerajaan akan terus memberi bantuan termasuk projek yang sudah direncanakan untuk rakyat.

“Sama ada MoU itu ada atau tidak, Kerajaan Perpaduan tetap tidak meminggirkan mana-mana pihak, tak kira di kawasan pihak kerajaan atau pembangkang.

“Kerajaan Madani ini konsepnya inklusiviti, ihsan, kita kena ada kesaksamaan, itu konsep Madani. Kita kena memberi kepada semua, sama ada ada MOU atau tak, program dan projek tetap berjalan, rakyat tetap dapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Sungai Tebrau, Kampung Bakar Batu, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Petra, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, pintu rundingan mengenai MoU untuk peruntukan Ahli Parlimen pembangkang masih terbuka dan kerajaan sedia untuk berbincang lebih lanjut mengenainya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan bahawa draf MoU tersebut berfungsi sebagai platform perbincangan dan bukan sebagai dokumen muktamad.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan MoU tersebut kerana mendakwa bertentangan dengan beberapa perkara termasuk berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan mengongkong kebebasan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan yang diambil pembangkang mengenai darf MoU itu.

“Itulah kedudukannya, apa pun tak perlulah kita nak ulas lagi. Bukan kata tidak ada persefahaman, kita sudah beri (draf MoU),  kalau mereka dah tolak, kita nak buat apa lagi.

“Apa nak kaji lagi, orang sudah tolak. Kalau kita dah pinang, tiba-tiba kena tolak, takkan nak pinang lagi, malu saya,” katanya berseloroh.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here