Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan bercakap kepada media selepas Program Selangor Police Integrity Half Marathon 2024 di Stadium Sultan Sulaiman, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2024.

KLANG – Polis Selangor bekerjasama rapat dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam perkongsian maklumat berkaitan kes GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Polis Selangor Komisioner. Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerjasama ini telah dilaksanakan sejak awal lagi dalam kes tersebut.

“Ini merupakan satu pasukan khas bersepadu di peringkat Bukit Aman.

“Jadi, apa yang boleh saya tegaskan memang ada kerjasama perkongsian maklumat antara Polis Selangor, MAIS dan JAIS melibatkan aktiviti (GISBH) di negeri ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Selangor Police Integrity Half Marathon 2024 di Stadium Sultan Suleiman di sini.

Dalam perkembangan sama, Hussein turut mengesahkan beliau mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu terbabit.

Semalam, Sultan Sharafuddin menitahkan seluruh agensi agama Islam di Selangor bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan semua pihak terbabit kesalahan jenayah disyaki berkait GISBH serta rangkaiannya, diheret ke mahkamah dan didakwa.

Selain itu, baginda turut menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan GISBH serta rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terbabit apa-apa kegiatan jenayah, termasuk jenayah syariah, ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Terdahulu Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menerusi kenyataan media pada 21 September memaklumkan bahawa, seramai 155 individu termasuk 77 wanita yang disyaki terlibat dengan GISBB ditahan dalam Op Global di Semenanjung Malaysia.

Kesemua individu itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan di 82 premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, ma’ahad dan rumah persendirian.- MalaysiaGazette

Sultan Selangor kecewa isu GISBH lambat ditangani sehingga jadi serius

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here