Ahmad Zahid bersama-sama pelajar tahfiz dalam Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di Prime City Hotel, Kluang hari ini.

KLUANG – Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 140,000 kanak-kanak sebagai huffaz cilik dilahirkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menjelang 2026 nanti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 4,145 kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Pra Tahfiz Kemas melibatkan 62,175 kanak-kanak telah memulakan pembelajaran itu bermula Ogos lalu.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, menerusi usaha tersebut disasarkan kira-kira 60 peratus kanak-kanak Tabika KEMAS dapat menghafaz 20 surah Juz Amma iaitu Surah Ad-Duha menjelang akhir sesi persekolahan 2024 nanti.

“Tabika Pra Tahfiz Kemas merupakan satu program untuk memperkasakan lagi pendidikan al-Quran di Tabika.

“Program ini memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (modul Penghayatan Islam) yang merangkumi aspek pendidikan dalam melahirkan Huffaz cilik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Kemas Negeri Johor Tahun 2024 di Prime City Hotel di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Kata Ahmad Zahid, usaha dan program itu merupakan satu pengubah keadaan dalam memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia yang akan memberi fokus kepada 7m iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, manaakul dan manusiawi.

Ujarnya ,inisiatif berkenaan dijadikan teras utama dalam kemenjadian kanak-kanak yang beragama Islam selain daripada kemahiran sedia ada yang diperlukan sebagai persediaan masuk ke tahun satu.

“Pengisian modul ini merujuk sepenuhnya Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang dengan teknik hafazan serta kaedah pembelajaran secara santai,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here