SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 melabuhkan tirai dengan gemilang hari ini apabila melepasi sasaran  seramai pengunjung  5 juta orang direkodkan sepanjang 11 hari penganjurannya.

Pameran kali ini turut merekodkan nilai jualan langsung RM41 juta menerusi 139 Memorandum Persefahaman (MoU), kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Selain itu, MAHA 2024 menyaksikan Memorandum Perjanjian (MoA)  mencecah nilai RM7.2 bilion telah ditandatangani.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan pencapaian MAHA kali ini sebagai kejayaan yang luar biasa.

“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian luar biasa yang dicapai, terutama dalam peningkatan jualan anak benih, anak pokok dan binatang ternakan… di samping memperlihatkan kesedaran yang kian mendalam terhadap kepentingan keterjaminan makanan demi masa depan negara,” tambahnya ketika berucap pada penutupan MAHA 2024 di sini, petang ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kejayaan ini membuktikan minat rakyat terhadap sektor pertanian semakin pesat berkembang.

Mohamad Sabu turut optimis MAHA 2024 akan memberikan impak positif kepada petani dan pengusaha dalam industri agromakanan tempatan.

““Dengan pameran inovasi terkini, para petani berpeluang untuk mendapatkan
pengetahuan baru dan teknologi yang dapat meningkatkan hasil pertanian mereka,” katanya lagi.

Beliau juga yakin pameran ini akan terus  menjadi platform untuk meneroka teknologi terkini, memperkembangkan lagi potensi pelaburan dan pemasaran sektor pertanian bagi 100 tahun akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast