Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Prestasi eksport yang kukuh dijangka menyuntik kenaikan dalam niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives minggu depan, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata, sentimen pasaran yang positif juga akan dipengaruhi oleh pertumbuhan pengeluaran yang lebih rendah.

“Pada minggu depan, kami menjangkakan harga diniagakan antara RM3,820 setan dan RM4,080 setan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata, niaga hadapan MSM akan didagangkan lebih rendah berikutan pengambilan untung pada minggu depan, dalam julat RM3,700-RM3,800 setan.

“Prestasi ringgit yang lebih kukuh mempengaruhi sentimen pasaran minggu ini. Permintaan fizikal adalah dari China, India, Pakistan, Timur Tengah, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat dengan stok masih banyak di Indonesia,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Oktober 2024 melonjak RM118 kepada RM4,027 setan, November 2024 meningkat RM160 kepada RM3,974 setan, manakala Disember 2024 menokok RM172 kepada RM3,947 setan.

Kontrak Januari 2025 naik RM171 kepada RM3,925 setan, Februari 2025 bertambah RM164 kepada RM3,907 setan, manakala kontrak Mac 2025 berada pada RM3,885 setan.

Kontrak September 2024 ditutup pada RM3,930 setan.

Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 368,026 lot daripada 422,487 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 254,752 kontrak daripada 259,519 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan naik RM60 kepada RM4,070 setan pada Jumaat daripada RM4,010 setan minggu lepas. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast