Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

 

KUALA LUMPUR – Institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terkesan banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) akan meneruskan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) iaitu sama ada semua murid berada di rumah ataupun sebilangan murid tertentu melaksanakan PdPR.

KPM dalam kenyataan berkata, pihak sekolah akan memaklumkan mengenai perkara ini kepada ibu bapa/penjaga murid yang terjejas.

“Bagi murid yang berada di PPS premis sekolah, pihak jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) telah menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) untuk membantu murid dari aspek kaunseling dan pembelajaran.

“KPM akan terus memantau situasi banjir, bersiap siaga dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warganya,” tambahnya yang merujuk kepada takwim kalendar akademik sesi 2024/2025 yang mana tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 2, 2024/2025 pada 22 September 2024 bagi negeri Kumpulan A dan 23 September 2024 bagi negeri Kumpulan B.

Menurut KPM, setakat 21 September 2024, sebanyak enam institusi pendidikan melibatkan lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah masih dilanda banjir di Kedah.

Manakala 36 institusi pendidikan masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 20 sekolah sekolah rendah dan 16 sekolah menengah (Kedah – 34; Pulau Pinang – 1; dan Perak – 1).

Seramai 1,056 orang murid KPM masih berada di PPS premis sekolah.

Sementara itu, Perlis telah pulih sepenuhnya dengan semua PPS premis sekolah ditutup. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here