KLUANG – Pembangunan pesat di daerah ini membuktikan Kerajaan Negeri Johor tidak meminggirkan mana-mana kawasan dalam agenda pembangunan negeri, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menyangkal dakwaan kononnya pembangunan di Johor hanya berpusat di bahagian selatan negeri ini iaitu Johor Baharu dan di kawasan utara di Muar.
Malah, menurut Ahmad Zahid, pengamatannya mendapati pembangunan di Kluang termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dan DUN Mengkibol sangat rancak terutama dari segi tawaran rumah mampu milik kepada pelbagai golongan rakyat.
“Saya sangat bersyukur kerana Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tidak ada satu daerah pun di Johor yang ketinggalan.
“Sebab ada tuduhan kononnya daerah Johor tengah khususnya di Kluang ini agak terpinggir kerana pembangunan hanya tertumpu di kawasan selatan dan utara negeri ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang yang turut dihadiri Onn Hafiz di Taman Kluang Perdana, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan daerah Kluang mempunyai potensi besar untuk terus membangun disebabkan lokasinya yang strategik kerana mudah diakses dan dihubungkan dengan bandar-bandar terdekat.
Apatah lagi, ujar beliau, daerah Kluang kelak akan mempunyai akses secara terus sama ada ke wilayah utara, selatan atau ke ibu negara, Kuala Lumpur menerusi pembinaan stesen bagi laluan berkembar elektrik tidak lama lagi.
Kepesatan pembangunan itu kelak akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di sokong dengan beberapa institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang bakal menyediakan tenaga kerja berkemahiran, katanya.
“Sebab itu penting untuk DUN Mahkota mempunyai seorang wakil rakyat yang dapat menghubungkan keperluan penduduk di sini dengan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat, apatah lagi kerajaan negeri juga sangat proaktif membantu penduduk di sini menerusi kerjasama yang baik dengan bekas ADUN sebelum ini.
“Sudah tentunya, calon BN yang kita ketengahkan pada PRK DUN Mahkota kali ini mempunyai kemampuan yang sama atau mungkin lebih lagi untuk membantu penduduk di sini,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap pengundi luar termasuk yang tinggal di Singapura dapat pulang menjalankan tanggungjawab pada PRK DUN Mahkota Sabtu depan, bagi memilih wakil rakyat yang mampu mewakili suara mereka dengan sebaik-baiknya. – MalaysiaGazette