Mohd Idzharruddin (dua kiri) mengadakan sidang akhbar akhbar di Bilik Gerakan Utama PN PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu, Kluang, hari ini.

KLUANG – Dakwaan DAP kononnya Perikatan Nasional (PN) menyebarkan surat layang menakut-nakutkan penduduk Cina supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota disifatkan sebagai tuduhan jahat dan liar.

Pengarah Jentera Pemuda PN Johor PRK DUN Mahkota, Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin sebaliknya percaya, DAP adalah dalang di sebalik perbuatan itu tetapi menuduh PN melakukannya.

“PN yakin bahawa DAP ‘baling batu, sembunyi tangan’ kerana DAP yang secara tiba-tiba membuat sidang media mendedahkan semua butiran surat tersebut.

“Sidang media DAP itu seolah-olah satu cubaan untuk menyebarkan isi kandungan surat berkenaan kepada lebih banyak media dan mendedahkan isi kandungannya.

“Malah menurut laporan sebuah portal, DAP turut menyatakan keengganannya untuk menjawab dan menyerahkan kepada UMNO untuk mengulasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PN PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mengadakan sidang akhbar mengecam tindakan pihak tertentu menyebarkan surat layang tersebut.

Shu Qi berkata, surat layang itu mengajak pengundi Cina menghukum calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Mahkota disebabkan pergeseran antara dua pemimpin DAP dan UMNO sebelum ini.

Jelasnya, surat layang itu dikesan dimasukkan dalam peti surat penduduk di beberapa taman antaranya Taman Sri Kluang; Taman Suria; Taman Liang Seng dan Taman Pelangi malam semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Idzharruddin berkata, fokus kempen PN adalah jelas iaitu berkenan kegagalan Kerajaan Perpaduan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

“Isu kegagalan kerajaan sama ada di peringkat negeri atau Pusat dalam menangani pelbagai permasalahan harian rakyat menjadi keutamaan dalam kempen PN,” jelasnya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

PN mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, manakala BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here