Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (kiri) ketika turun berkempen di sekitar PDM Kampung Baru sempena PRK DUN Mahkota di Kluang, Johor, semalam. - Foto: FB Shamsul Anuar Nasarah

KLUANG – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan tindakan menyebar surat layang kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) sebagai satu bentuk politik tidak matang.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) beranggapan tindakan itu sebagai taktik terdesak pihak lawan untuk menghasut pengundi Cina supaya tidak keluar mengundi Sabtu depan.

Ujarnya, tindakan itu juga disebabkan pembangkang gusar kerana melihat momentum sokongan cukup baik yang ditunjukkan pengundi DUN Mahkota kepada calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah.

“Jadi nasihat saya kepada pengundi di sini, jangan terpengaruh dengan apa juga fitnah dan propaganda pihak lawan terhadap UMNO dan BN, sama ada yang disebarkan menerusi surat layang atau di media-media sosial.

“Pengundi perlu merujuk kepada sumber yang betul dan tepat berhubung apa-apa jua isu yang ditimbulkan,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Shamsul Anuar ditanya berkenaan penyebaran surat layang yang mengajak pengundi Cina menghukum UMNO dalam PRK DUN Mahkota kerana pergeseran antara pemimpin parti itu dengan DAP.

Surat layang dalam bahasa Mandarin itu dikesan disebarkan dari rumah ke rumah bermula malam semalam, dengan dimasukkan ke dalam peti surat melibatkan beberapa taman perumahan antaranya Taman Sri Kluang; Taman Suria; Taman Liang Seng dan Taman Pelangi, di sini.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, beliau percaya kandungan surat layang itu bertujuan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi Cina berhubung kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

“Apa yang mereka lalukan ini untuk mengurangkan sokongan dalam kalangan masyarakat Cina kepada kita setelah mereka lihat masyarakat Cina menyokong BN.

“Sebab itu pengundi di sini mesti menolak budaya politik tidak sihat seperti ini kerana ia sudah pastinya tidak sesuai dengan amalan politik bukan sahaja di Johor, malah seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here