Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiring oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melawat rumah contoh selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampi Milik Kluang di Taman Tasek, Kluang. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Kerajaan Pusat akan mempelajari model tawaran memiliki rumah sendiri kepada rakyat menerusi pemulangan wang sewa untuk digunakan sebagai deposit membeli rumah seperti yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Johor.

Sambil menyifatkan ia pendekatan yang baik, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Johor merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan model tersebut ketika ini.

Jelas beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menerusi model itu, kerajaan negeri akan memulangkan sebanyak 30 peratus jumlah sewa rumah mampu milik kepada penyewa khususnya keluarga muda untuk dijadikan deposit bagi membeli rumah sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiring oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua kiri) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Realisasi Rumah Mampi Milik Kluang di Taman Tasek, Kluang. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

“Tidak ada kerajaan negeri lain yang melakukan seperti ini, walaupun ada program `rent to own’ di negeri-negeri lain, tetapi model ini yang mana sewa rumah mampu milik itu dianggap sebagai simpanan merupakan pendekatan baharu.

“Saya yakin Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyedari berkenaan model yang dilaksanakan di Johor ini dan saya akan menyokong sekiranya ia dibawa ke Kabinet untuk diperluaskan ke seluruh negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Taman Kluang Perdana, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiring oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bergambar bersama pemilik rumah mampu milik Kluang selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampi Milik Kluang di Taman Tasek, Kluang. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

Tambah Ahmad Zahid, keperluan untuk memastikan penduduk khususnya keluarga baharu memiliki kediaman sendiri perlu diberi keutamaan memandangkan kuasa beli golongan itu yang masih rendah.

“Sebab itu kaedah untuk penyimpanan wang sewaan itu merupakan pendekatan yang sangat-sangat diperlukan oleh golongan tersebut dan pendekatan baharu ini boleh diapliasikan di negeri-negeri lain terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, model pemilikan rumah itu sudah lama dilaksanakan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN), malah kerajaan negeri turut merancang menawarkan sebanyak 5,000 unit rumah menerusi model itu kepada penduduk di daerah Kluang menjelang 2026. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here