Ahmad bersama jentera UMNO semasa berkempen dan bertemu orang ramai di Taman Pelangi, Kluang, hari ini

KLUANG- Jentera UMNO akan memperhebatkan gerak kerja dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang berbaki seminggi lagi kempen.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jentera akan menggunakan sebaik-baiknya masa yang ada untuk mendekati seberapa ramai pengundi.

“Setakat ini, respons pengundi dan penduduk di Mahkota diberikan cukup baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Pelangi di sini hari ini.

Beliau puas hati dengan komitmen jentera UMNO dari bahagian dan negeri angkat yang membantu kerana berfungsi dengan begitu baik ketika ini.

Menurut Ahmad, ini kerana mereka bersungguh-sungguh melaksanakan tugasan mengikut kawasan masing-masing di Mahkota.

“Sebanyak 25 bahagian angkat dari Johor datang membantu bersama negeri-negeri antaranya dari Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor. Mereka ini sudah berkampung selama dua minggu di Mahkota.

“Yang datang ini ada kerja-kerja dan tugasan masing-masing, ada yang bantu pemuda pasang bendera, wanita berkempen dan puterinya menelefon pengundi,” katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, ahli MKT UMNO turut memainkan peranan sebagai bapa angkat di 18 pusat daerah mengundi (PDM) di sini.

“Setiap ahli MKT diberikan satu PDM. Bagi kawasan PDM yang besar dijaga oleh dua ahli MKT. Begitu juga dengan Exco Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO juga turun membantu.

“Jerak kerja jentera yang cukup bersatu padu dari bahagian, negeri angkat dan bapa angkat ini menjadi kunci kepada UMNO untuk melakar kejayaan kembali memenangi kerusi DUN Mahkota,” ujar Timbalan Menteri Kerja Raya itu.

PRK DUN Mahota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here