Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap pada Majlis Realisasi Rumah Mampi Milik Kluang di Taman Tasek, Kluang. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menempelak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa Barisan Nasional (BN) menggunakan aset dan jentera kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menerusi program Jom Orang Mahkota.

Sedangkan, menurut Onn Hafiz yang juga Pengerusi Jawatankuasa BN negeri, beliau difahamkan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar turut bersama-sama menghadiri program tersebut.

Beliau turut menyangkal dakwaan program itu bermotifkan kepentingan politik sebaliknya dianjurkan untuk manfaat penduduk setempat.

“Saya difahamkan calon PN sendiri pun pergi bersama-sama dalam progam itu.

“Jadi, ini bukan program politik, tapi ini program untuk rakyat, maka orang BN, PN atau Pakatan Harapan (PH) atau sesiapa sahaja pun boleh hadir ke program itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Taman Kluang Perdana, di sini hari ini.

Semalam, PN membuat laporan polis selepas mendakwa program Jom Orang Mahkota iaitu siri jelajah bertemu rakyat yang diketuai Onn Hafiz dan turut disertai calon BN bagi PRK DUN Mahkota, Syed Hussein Syed Abdullah bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ini kerana, dakwa Ketua Gerak Gempur PN Kluang, Shazni Sulaiman, program itu menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada penduduk DUN Mahkota yang bakal mengundi pada PRK pada Sabtu depan, sekali gus boleh dianggap sebagai rasuah.

Dalam masa sama, Shazni mendakwa, program yang berlangsung selama dua hari itu turut menggunakan aset kerajaan selain kakitangan awam dikerah bagi menjayakannya.

Sementara itu, Onn Hafiz menyifatkan PN tidak mempunyai isu lain untuk diketengahkan kepada pengundi dalam berkempen pada PRK DUN Mahkota ketika ini dan menjadikan program tersebut sebagai modal politik retorik mereka. – MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here