Tukang cuci warga asing yang didapati melpmpat atas kereta semasa melintas jalan diberkas polis di kawasan kejadian Bandar Sungai Long hari ini.Ihsan IPD Kajang

KAJANG – Tindakan mengejut seorang lelaki yang melompat secara mengejut ke atas kenderaan semasa melintas jalan sehingga mengakibatkan kemalangan di sini akhirnya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu berlaku di Bandar Sungai Long pada 17 September lalu.

Katanya, polis hari ini terkesan video berkaitan insiden itu tular di media sosial Facebook atas nama pemilik akaun ‘Dashcam Malaysia’.

“Siasatan awal mendapati rakam berdurasi 14 saat itu menunjukkan seorang lelaki meintas jalan lalu melompat ke arah kenderaan yang bergerak sehingga menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain semasa insiden itu.

“Insiden itu berlaku lebih kurang pukul 11.53 pagi namun lelaki berbaju merah, bertopi putih serta berseluar hitam dipercayai warga asing itu telah meninggalkan tempat kejadian dengan kecederaan ringan dan tiada sebarang butiran atau pengenalan peribadi diperolehi daripada suspek,” katanya dalam kenyataan malam ini.

suspek warga asing yang melompat atas kereta sehingga mengakibatkan kemalangan jalan raya dalam insiden di Bandar Sungai Long Kajang 17 September lalu berjaya diberkas pada 22 September 2024 oleh polis Kajang.

Tambah Naazron, bertindak atas maklumat sekitar 6 petang tadi, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki yang bekerja tukang cuci berusia 32 tahun itu di Bandar Sungai Long.

Polis bagaimanapun masih belum dapat memastikan motif kejadian.

Kes berkenaan sedang disiasat di Bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain dan boleh dihukum penjara tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-dua sekali.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000.

“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut tentang kejadian itu supaya tampil segera berhubung dengan balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes Inspektor Mohamed Faeez Norzah di 013-266 3407 untuk membantu siasatan kes ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here