Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terbaharu GISBH bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat , Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya membuat serbuan terhadap sebanyak 280 premis berkait Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH) dalam Fasa 4 Op Global yang bermula sejak 21 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 59 premis yang diserbu membawa kepada tangkapan dan rampasan barangan menerusi hasil pemeriksaan lanjut.

“Manakala pemeriksaan lanjut pasukan serbuan Bukit Aman ke atas sebanyak 221 premis pula didapati ia telah dikosongkan dipercayai kesemua ahli GISBH telah melarikan diri.

“Melalui Fasa 4 ini, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita telah ditangkap manakala seramai 187 mangsa berusia 18 tahun ke bawah diselamatkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Razarudin, mengikut pecahan, kesemua tangkapan yang dilakukan pasukannya membabitkan individu yang berusia 18 hingga 30 tahun membabitkan seramai 55 orang, 53 individu berusia antara 31 hingga 50 tahun, seramai 32 lagi berumur antara 50 hingga 65 tahun dan seramai 16 lagi individu adalah berumur 65 tahun ke atas.

Dalam perkembangan sama, Razarudin juga menegaskan, PDRM dalam Fasa 4  turut berjaya menyelamatkan seramai 187 mangsa yang terdiri daripada 100 lelaki dan 87 wanita.

“Mengikut pecahan, mangsa mengikut kategori umur, seramai 59 orang adalah kanak-kanak berusia bawah lima tahun, seramai 75 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, seramai 40 mangsa adalah remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun dan 13 lagi berusia 18 tahun ke atas.

“Kesemua mangsa yang diselamatkan oleh polis dalam Fasa 4 ini ini sedang menjalani saringan dengan Kementerian Kesihatan dan setelah proses saringan kesihatan telah selesai, kesemua mangsa akan diserahkan kepada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) bagi tujuan perlindungan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, menerusi Fasa 4 OP Global juga PDRM bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membuat rampasan sebanyak 455 unit naskah, risalah dan logo, 90 unit telefon bimbit, 16 unit komputer, 26 ekor haiwan, 13 buah kenderaan dan wang tunai RM904.

Tindakan pembekuan telah dilaksanakan oleh polis mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dan penyitaan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) telah dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.

“Dengan tindakan terbaharu itu, jumlah terkini keseluruhan tindakan pembekuan yang dilakukan polis berlunaskan undang-undang sedang diguna pakai di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) adalah sebanyak 153 akaun dengan pecahan terdiri daripada 138 akaun dengan jumlah RM882,795.94 sementara sebanyak 15 lagi akaun telah ditutup.

“Malah polis turut menyita sebanyak 22 buah kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 dan sebanyak 14 lot hartanah berkait pertubuhan GISBH.

“Selain itu, kita juga berjaya membuat penyitaan terhadap 16 buah kenderaan lagi yang bernilai RM2.07 juta, 26 ekor haiwan termasuk sembilan ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga ekor burung merak, wang tunai RM18,650 dan dua utas jam jenama Amazfit RM600 di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613),” tegas Razarudin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

GISBH: Empat beradik disyaki mangsa dera diselamatkan polis – KPN

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here