Logo Jabatan Perangkaan Malaysia

KUALA LUMPUR – Sehingga 20 September 2024, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kelantan telah selesai menjalankan bancian terhadap
sebanyak 72,103 (82.3 peratus) tempat kediaman pertanian.

Manakala bagi pertubuhan perniagaan pula sebanyak 246 (58.6 peratus) yang terlibat dengan aktiviti pertanian telah selesai dilawati.

Jajahan Gua Musang merekodkan peratus tempat kediaman pertanian selesai dilawati paling tinggi iaitu 101.9 peratus, diikuti oleh Machang (101.3%), Pasir Mas (96.1%), Jeli (94.0%), Pasir Puteh (92.2%), Tanah Merah (91.3%), Kuala Krai (80.5%) dan Lojing (75.6%).

Banci Pertanian 2024 yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah bermula pada 7 Julai 2024 kini telah memasuki hari ke 78.

Bancian berskala besar ini meliputi bancian ke atas isi rumah dan pertubuhan perniagaan yang terlibat dalam aktiviti pertanian iaitu tanaman makanan dan komoditi, ternakan, perikanan dan akuakultur serta pembalakan dan perhutanan.

Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 87,621 tempat kediaman dan 420 pertubuhan perniagaan yang melaksanakan aktiviti pertanian terlibat dalam pelaksanaan Banci Pertanian 2024 di seluruh Kelantan.

Menurut DOSM, sektor pertanian merupakan penyumbang kedua terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Negeri Kelantan selepas sektor Perkhidmatan.

Pada tahun 2023 sebanyak 20.3 peratus (RM5,610 juta) telah disumbangkan oleh sektor tersebut.

Subsektor tanaman adalah penyumbang terbesar dalam sektor pertanian iaitu 14.8 peratus, diikuti subsektor perhutanan dan pembalakan (3.1%), subsektor perikanan (1.3%) dan subsektor ternakan (1.1%).

Keluasan kawasan bertanam bagi Negeri Kelantan adalah 413,415 hektar dengan peratus bertanam sebanyak 27.5 peratus.

Bachok dan Tumpat mempunyai peratus bertanam paling tinggi masing-masing sebanyak 83.4 peratus dan 74.9 peratus berbanding keluasan tanah di jajahan tersebut.

Banci Pertanian 2024 penting dalam menghasilkan penanda aras baharu bagi mewujudkan pengkalan data masa sebenar komprehensif dan boleh dipercayai.

Dapatan Banci Pertanian 2024 ini akan menjadi input dalam perancangan dasar dan strategi untuk memajukan lagi sektor pertanian negara. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here