KUALA LUMPUR – Polis menasihati ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang meloloskan diri semasa serbuan Op Global supaya tampil segera membantu siasatan polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta kerjasama ahli-ahli yang melarikan diri itu tampil dan memberi kerjasama kepada pihaknya.
“Fokus utama polis adalah untuk memastikan kebajikan individu dan anak-anak mereka yang diselamatkan dapat dijaga dan dibela sewajarnya.
“Dengan situasi semasa syarikat (GISBH) operasinya sudah lumpuh ekoran serbuan Op Global, kita juga percaya ramai ahli sudah melarikan diri kerana takut tindakan akan menyusul ke atas mereka dan tiada tempat tinggal.
“Kita sebenarnya mahu memastikan mereka dan anak-anak mereka sentiasa selamat dan terlindung,” jelasnya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Razarudin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuka sebanyak 11 rumah perlindungan untuk menempat dan melindungi kanak-kanak mangsa kes melibatkan GISBH yang diselamatkan Polis Diraja Malaysia menerusi Op Global.
Setakat ini, seramai 572 mangsa kanak-kanak berjaya diselamatkan dari rumah kebajikan GISBH dalam empat fasa yang dilaksanakan secara berperingkat ke atas GISBH sehingga kini.
“Hasil pemeriksaan saringan kesihatan yang dikendalikan ke atas 572 kanak-kanak itu menunjukkan mereka di bawah umur 18 tahun dan siasatan awal kami mendedahkan ada tanda- tanda penderaan dan trauma.
“Selain itu, polis juga percaya kesemua mangsa kanak-kanak yang dibiarkan di rumah amal GISBH yang digempur menerusi Op Global ini telah didoktrinkan sehingga ke tahap yang mana menyebabkan mangsa percaya diri mereka adalah anak yatim,’ katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Tambah Razarudin, siasatan lanjut juga membawa kepada pendedahan salah seorang ahli GISBH mempunyai empat isteri dan 34 anak.
“Namun hanya dua anak sahaja didapati berada di bawah penjagaan ibu bapa manakala 32 yang lain diserahkan di bawah penjagaan rumah kebajikan di bawah GISBH,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette