PUTRAJAYA – Akademi Keselamatan Siber bagi menawarkan kursus-kursus berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) ditubuhkan bagi mengisi kekosongan 26,000 tenaga mahir dalam bidang itu.
Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengambilan pertama berlangsung tahun ini kerana keperluan mendesak selain menangani keselamatan siber yang mendesak.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET negara berkata, perbincangan bersama Menteri Digital, Gobind Singh Teo sudah diadakan bagi tujuan tersebut.
“Penubuhan ini penting kerana dari segi akreditasi akademi ini adalah sebuah badan menyelaras bentuk kursus diadakan.
“Kemasukan pelajar dibuat pada pengambilan sekarang, sudah bincang dengan Menteri Digital, kertas dibentang, kursus disegerakan keperluan sangat mendesak.
“Ini merupakan TVET berkemahiran tinggi, kerana terdapat kekosongan lebih 26,000 dalam bidang tersebut,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media.
Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) Bil. 3/2024, di sini, hari ini.
Mesyuarat turut dihadiri oleh ahli MTVET melibatkan barisan menteri daripada 12 kementerian berkaitan TVET, tokoh industri, dan tokoh akademia.
Beliau kemudian menyampaikan ucapan pada sesi libat urus 66 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.
Katanya, pembangunan bakat dalam bidang keselamatan siber di negara ini perlu dipertingkatkan terutama dalam situasi negara berhadapan dengan ledakan teknologi digital sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.
Menurut beliau, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama institusi TVET akan membangunkan kepakaran tenaga kerja tempatan dalam bidang keselamatan siber ini melalui program peningkatan kapasiti dan kompetensi yang berstruktur secara berterusan. – MalaysiaGazette