Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap kepada media selepas hadir ke Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Blok F8, Kompleks F, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Seramai 300 kanak-kanak yang diselamatkan polis daripada Gabungan Ikhwan Sendirian Berhad (GISBH) akan disediakan akses kepada pendidikan pada 1 Okrtober ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, mereka akan didedahkan kepada pendidikan formal dan berstruktur bagi mengelak keciciran.

“Beberapa rumah pelindung akan diberikan pendidikan formal oleh KPM (Kementerian Pendidikan) berdasarkan kepada modul khas yang pernah kita laksanakan sebelum ini.

“Kita ambil berat dan ada komitmen yang tinggi untuk memastikan bahawa anak-anak ini dapat mengikuti sepenuhnya set pendidikan.

“Kita bimbang sekiranya mereka tertinggal dalam tempoh siasatan sepanjang proses ini berlaku. Kita ambil tanggungjawab itu bagi memastikan pendidikan mereka dijamin,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KPM di Dewan Damar, Kompleks F, di sini, hari ini.

Sebelum ini, KPM menyatakan ia sedia memberi peluang pendidikan kepada 402 kanak-kanak yang didakwa menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan rumah amal milik rangkaian sebuah syarikat yang berjaya diselamatkan dalam beberapa serbuan di Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, kementerian itu akan membuka peluang berkenaan seluas-luasnya kepada mangsa untuk mendapat pendidikan, seperti termaktub dalam akta pendidikan yang mewajibkan pendidikan sekolah rendah bagi kanak-kanak di Malaysia.

Menurut Fadhlina, modul pendidikan untuk semua kanak-kanak tersebut akan dibuat selepas sesi penilaian daripada KPM.

“Setakat ini tidak kita ambil maklum keadaan mereka yang barang kali untuk membuat penilaian terlebih dahulu. Ini termasuk 3M (membaca, menulis dan mengira) mereka, kemudian psikososial dan kini mereka sedang melakukan sesi bersama kaunseling.

“Selepas selesai semua sesi tersebut maka KPM akan mengambil alih dalam isu pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina memberitahu, kementeriannya masih mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap ibu bapa yang gagal memberikan pendidikan wajib sekolah rendah kepada anak-anak mereka.

Tambah beliau, pihaknya sedang mengkaji perkara itu daripada segi undang-undang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here